Perbelanjaan Jet Peribadi Untuk Kepentingan Negara – Shahidan
Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan yang ditanggung kerajaan ke atas
pemilikantujuh jet untuk kegunaan perdana menteri dan Yang di-Pertuan
Agong adalah untuk kepentingan negara dan ia tidak perlu dipersoalkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim
berkata, semua perbelanjaan ke atas tujuh jet berkenaan adalah bagi
memastikan perdana menteri tiba tepat pada masanya di sesuatu
tempatdalam melaksanakan tugasnya.
“Ini ialah untuk soal yang berkait dengan kepentingan negara. Perdana
Menteri harus sampai ke satu-satu tempat itu tepat pada masanya.
“Cuba bayangkan pukul 2 petang berada di Kuala Lumpur dan pukul 3
petang kena ada di Alor Setar, kemudian pukul 6 petang kena berada di
Ipoh. Di sana tiada penerbangan kelas pertama dan kos lebih tinggi jika
menyewa kapal terbang komersial,” katanya ketika ditemui pemberita di
Lobi Parlimen pada Khamis.
Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, selain untuk kegunaan
dalam negara, jet itu turut digunakan untuk menampung keperluan perdana
menteri dan Yang di-Pertuan Agong yang menjalankan tugas rasmi ke luar
negara.
“Jika jet ini tidak diselenggara dengan sempurna, ia boleh membawa
kepada risiko dan ini melibatkan faktor keselamatan. Jadi ia memerlukan
penyelenggaraan,” katanya.
Dalam masa yang sama katanya, kos bagi menyelenggara jet yang
digunakan oleh perdana menteri itu adalah ditetapkan oleh syarikat yang
dilantik kerajaan.
“Kos ini bukanlah untuk kegunaan peribadi perdana menteri malah ia
langsung tiada hubung kait dengan perdana menteri. Perdana Menteri hanya
menggunakan salah satu daripada pesawat berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang mengadakan sidang
media sebelum itu mengulas jawapan yang dikemukakan oleh Jabatan
Perdana Menteri bahawa kerajaan menanggung kos RM86.4 juta untuk menyewa
jet bagi lawatan rasmi Najib.
Beliau mempersoalkan jawapan bertulis yang dikemukakan itu menyebut
jet berkenaan melibatkan kos RM16.515 juta untuk penyelenggaraan dan
RM3.32 juta untuk baik pulih.