Wednesday, August 26, 2009

Ayah Kartika tidak mahu undang-undang yang termaktub dalam Islam dipandang serong dan diperkotak-katikkan

SUNGAI SIPUT: “Kenapa buat saya macam ini?,” rintih bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang sedih dan kecewa kerana hukuman sebat yang dikenakan terhadapnya tidak dapat dijalankan dalam masa terdekat atas sebab tertentu.

Kartika sepatutnya dibawa ke Penjara Wanita Kajang pagi semalam bagi menjalani hukuman enam sebatan selepas disabitkan kesalahan meminum arak, dibawa dari rumahnya di sini kira-kira jam 9.30 pagi untuk dihantar ke penjara, tetapi dua jam kemudian, dia diserahkan kembali kepada keluarganya.

Dia yang tenang ketika dibawa keluar dari rumah pada jam 9.30 pagi, akhirnya menitiskan air mata.

Ibu dua anak itu pada mulanya enggan turun dari van Kia Pregio milik Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) sebelum dokumen pembebasannya ditunjukkan sehingga memaksa Pegawai Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jaip, Sharafuddin Zainal Ariffin, dilihat menulis dan menandatangani surat pengakuan penghantaran semula Kartika.

“Saya kecewa dengan arahan itu dan terkejut kerana saya sudah mempersiapkan mental dan fizikal bagi menjalani hukuman, tetapi hari ini (semalam) saya diberitahu hukuman itu tidak dapat dijalankan.

“Lebih menimbulkan tanda tanya, arahan itu hanya disampaikan melalui panggilan telefon kepada pegawai Jaip yang ditugaskan membawa saya ke penjara tanpa surat hitam putih,” katanya kepada media sebaik dihantar pulang semula ke rumah keluarganya di Kampung Jawang (U) di sini, pagi semalam.

Kartika berkata, pegawai Jaip memaklumkan pihaknya tidak dapat melaksanakan waran dan perintah mahkamah buat masa ini atas sebab tidak dinyatakan.

Dia yang kelihatan sugul, tidak menyangka perkara itu akan terjadi kerana sudah membayangkan proses membawanya ke penjara berjalan lancar selepas dia memberi kerjasama sebaiknya.

“Saya tidak diberitahu secara terperinci alasan di sebalik arahan itu kerana ia dikeluarkan pada saat akhir dan hanya sekadar diberitahu ia arahan pihak atasan. Saya keliru akan status saya kini.

“Malah, saya juga tidak diberitahu sama ada hukuman sebatan yang dijalankan ke atas saya akan berlangsung ataupun tidak. Saya tetap dengan pendirian untuk terus menjalani hukuman itu,” katanya.

Kecewa dengan kejadian itu, Kartika dan ayahnya, Shukarnor Abdul Mutalib, 60, membuat dua laporan secara berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, kira-kira jam 12 tengah hari.

Shukarnor berkata, dia membuat laporan itu bukan bertujuan mengingkari arahan yang dikeluarkan Jaip, tetapi berasakan ada sesuatu tidak kena berhubung arahan itu.

“Saya bimbang hal ini akan menjadi isu dan terus terang saya katakan, saya malu dengan kejadian yang berlaku. Saya menyerahkan anak saya kepada mereka (Jaip) dengan rela hati, namun lain pula jadinya.

“Saya juga tidak mahu undang-undang yang termaktub dalam Islam dipandang serong dan diperkotak-katikkan,” katanya yang agak emosi mengenai kejadian itu.

Terdahulu, kira-kira 30 pelajar Pusat Pendidikan Al-Barakah yang dipimpin Mohd Kazim Elias hadir memberi sokongan kepada Kartika dan menunaikan solat hajat supaya wanita itu diberi kekuatan untuk menjalani hukuman sebat.

Kes Kartika mula mendapat liputan meluas selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadapnya selepas dia disabitkan kesalahan meminum arak di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating, Kuantan, kira-kira jam 11.40 malam, pada 11 Julai 2008.

- Metro

No comments: