Azamin Amin Foto: Dzulfikar Mashoor Tue | Aug 18, 09 | 12:45:25 pm MYT | |
Sudah menjadi 'buah mulut' di kalangan mereka ini - si pengemis, si fakir, yang tidak berumah, penagih dadah, pondan, pelacur dan kanak-kanak 'lorong gelap' bahawa bangunan itu menjanjikan 'syurga' setiap hari Jumaat. Mata masing-masing merenung tajam bungkusan-bungkusan plastik berlogo 'Hijau Putih' yang tersusun kemas di atas meja. Sudah tidak sabar rasanya, untuk mencapai satu, getus hati-hati yang 'geram'. Mereka itu, golongan gelandangan yang memenuhi pekarangan bangunan PAS dengan satu tujuan - mendapatkan makanan percuma buat pengalas perut pada hari itu. Baik Cina, Melayu, India dan pelbagai kulit warna, di sinilah lokasi mereka bertemu setiap penghulu hari itu. Ada yang sudah kenal antara satu sama lain - bersembang-sembang sambil bergurau,ada yang duduk sendiri-sendiri menunggu waktu tiba, ada yang mengusap-usap peluh di dahi anak yang dikendong dan ada yang teragak-agak malu untuk menghampiri bangunan itu. Dengan nasi berlaukkan ayam masak kurma serta sayuran sebagai juadah, sudah cukup menceriakan mereka pada hari itu. Adakalanya menunya juga bertukar, ada masa bungkusan nasi itu diletakkan ikan goreng, telur rebus ataupun ikan masin. Biar apa pun sajiannya, mereka tidak ambil peduli. Yang penting perut hari itu telah diisi. Dan inilah secebis kepuasan PAS dan para petugasnya, ketika melihat mereka begitu beselera sekali menjamu di kaki lima dan tepi tangga bangunan PAS sebaik sahaja mendapat makanan percuma itu. Demikian luahan kegembiraan penyelaras makanan percuma Syaripuddin Mat Yatim, petugas Unit Amal dan beberapa kakitangan pejabat PAS kepada krew Harakahdaily kira-kira 5.30 petang, Jumaat lalu, sewaktu sedang sibuk membungkus dan menyusun juadah penuh nikmat itu. Kerja-kerja amal dan sumbangan kecil ini, secara tidak langsung telah memancarkan nama PAS di pelusuk ibu kota dan ianya amat besar ertinya kepada golongan gelandangan ini. Ini diakui sendiri, Mohd Rashid Othman 51, yang sudah dua tahun secara 'tetap', datang ke pejabat PAS ini, untuk mengambil makanan percuma. Dia yang yang tinggal di Setapak merasa bersyukur dengan sumbangan itu, yang sedikit sebanyak meringankan beban sesuap nasi, bagi dirinya yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Manakala seorang 'mak nyah',dikenali sebagai Ameera, 26 mendapat tahu agihan ini melalui rakan-rakannya,dan berjanji akan datang setiap Jumaat untuk mengambil peluang percuma itu. "Insya-Allah saya akan datang sini seminggu sekali. Benda yang baik ini elok diteruskan dan bantu mereka yang perlukan seperti saya," katanya tersenyum simpul ketika disoal krew Harakahdaily. Ya memang benar, selama dua tahun, semenjak 6 Julai 2007, PAS tidak pernah gagal dan culas pada setiap hari Jumaat, menyediakan makanan percuma kepada mereka yang dhaif ini dan secara purata, sejumlah lebih 200 bungkusan disajikan, namun adakala ianya tidak mencukupi. Nurulhuda Muslim 30, sambil mendukung anaknya berusia dua tahun lebih, menyambut baik usaha yang dilakukan terutama untuk penagih dadah yang memerlukan bantuan makanan seperti dirinya. "Baguslah... ada makan macam ini. Saya menagih dadah sudah 8 tahun dan tak kerja. Jadi hari ini dapatlah saya dan anak makan. Esok, akan cari tempat lain yang beri makanan percuma," katanya yang menagih dadah jenis 'Ice' dan enggan bergambar kerana khuatir 'diketahui' atau 'dikenali' keluarganya yang ada di Sabah. Rupanya, Nurulhuda sudah 'arif', mencari makanan percuma yang diedarkan oleh persatuan dan kumpulan agama tertentu pada hari dan lokasi yang telah ditetapkan. "Walaupun bukan kumpulan agama Islam yang beri makanan, tapi saya rasa makanan dibuat itu halal," katanya penuh yakin dan terus beredar segera ke pintu kaca Pejabat PAS untuk menunggu giliran. Selain PAS, seperti yang diakui Nurulhuda, terdapat dua lagi lokasi makanan percuma di ibu kota yang turut mendapat perhatian, iaitu berhampiran sebuah gereja di Muzium Telekom pada hari Ahad manakala satu lagi di bangunan Baitulmal Wilayah Persekutuan di Kampung Baru pada hari Rabu. Ini tidak termasuk kumpulan dan persatuan tertentu, yang mengagihkan makanan percuma secara 'mobile' atau bergerak, iaitu singgah di mana-mana lokasi,di mana golongan gelandangan ini bersidai ataupun melepaskan lelah. Tahun lalu, aktiviti edar juadah percuma ini telah 'dipanjangkan' oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat yang diketuai oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Dr. Lo' Lo� Hj Ghazali dengan mendekati dan beramah mesra dengan penghuni-penghuni 'lorong gelap' di sekitar Lorong Hj Taib, erhampiran bangunan PAS ini.Sungguhpun terkejut, namun penghuni-penghuni gembira di samping mesra dan melayan kehadiran rombongan para pimpinan PAS yang turut turun padang, malah ada yang 'membenarkan' naik ke flat tempat tinggal mereka, untuk bertemu rakan-rakan yang lain. Hari ini, kelibat para pemimpin PAS tidak kelihatan seperti lazimnya, kerana kepadatan jadual tugas di tempat masing-masing, dan tanggungjawab mengagihkan ini dipikul Syaripuddin yang lebih mesra di panggil 'Abang Chem'. Petang itu hujan begitu lebat, dan hanya sekitar 100 orang memenuhi ruang depan pejabat parti itu di mana pintu 'kaunter' makanan percuma akan dibuka tepat jam 6.00 petang. Tukang agih memberi sedikit taklimat ringkas kepada mereka agar, mengikut peraturan, kesopanan dan adab ketika mengambil makanan percuma itu. "Kalau tak hujan, 5.30 petang dah penuh kawasan depan ni...ramai. Malah ada yang datang dua tiga 'round' untuk ambil makanan," katanya yang sudah 'masak' dengan aneka ragam mereka yang berpusu-pusu di sini. Ditanya tentang maklum balas yang diterima ataupun 'keuntungan' yang didapati sejak dua tahun program edar makan percuma yang diilhamkan Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli dan seorang penyokong parti itu, kata Abang Chem itu urusan tuhan yang menentukan. "Setakat ini, tidak ada apa-apa. Kita beri, dengan niat ikhlas dan nak bantu. Selebihnya, dari sudut berubah atau gerak hati, Allah lah yang uruskan," katanya. Bagi Syaripuddin adalah lebih baik, selain PAS, masyarakat dan golongan yang berada dapat turut serta dalam menyumbang dana untuk menjayakan dan melancarkan aktiviti yang dilaksanakan secara konsiten itu, di samping memperbanyakkan kuatiti makanan percuma ini. Sedang, ditemubual Harakahdaily, dua wanita berusia sekitar 40 an' bertemu Syariffudin meminta jasa baik pihak PAS untuk datang ke rumahnya - flat berhampiran bangunan PAS itu, bagi meraikan majlis khatan anak mereka. "Azamin, nampaknya inilah 'keuntungan' yang kita dapat buat pertama kalinya, kerana mereka dah mula kenal kita. Mereka minta bacakan doa di kenduri anaknya. Ini satu dakwah dan kejayaan," katanya dengan raut gembira dan berharap Harakahdaily juga turut serta di majlis itu. Ketika Harakahdaily meninggalkan bangunan PAS itu kira-kira jam 6.30 petang, hati tersentuh, melihat kelibat beberapa orang sedang menjamu - nasi bungkus percuma PAS, dengan wajah ceria terpancar dan penuh semangat. Dan gelagat aksi Nurulhuda menyuap nasi ke mulut si kecil comel itu, lebih meruntun hati... |
Freud kata mind is just like an iceberg...only 10% of an iceberg is visible (conscious) whereas the other 90% is beneath the water (preconscious and unconscious)... betul ke ??? entah check it out....
Friday, August 14, 2009
Makanan percuma
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment