KUALA KANGSAR - "Saya lega kerana semakin hampir untuk dijatuhi hukuman sebat yang sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa berdosa saya."
Demikian pengakuan model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, ketika ditemui Kosmo! di rumah keluarganya di Kampung Jawang, Karai di sini semalam.
Namun kata wanita itu, dia dan keluarga keliru kenapa hukuman sebat itu perlu dilakukan di Penjara Kajang.
"Selepas ditahan adakah saya akan ditempatkan di Penjara Kajang bersama tahanan lain kerana saya bukan banduan," kata Kartika.
Bagi Kartika, dia juga berpendirian seperti bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib untuk menjalani hukuman secara terbuka.
"Saya tidak akan berasa aib dan bersedia untuk disebat di khalayak ramai agar matlamat hukuman tersebut untuk memberi teladan kepada orang ramai tercapai," kata ibu kepada dua orang anak itu.
Kartika tiba dari Singapura bersama suaminya, Mohamad Affendi pada pukul 2 pagi semalam setelah dimaklumkan bapanya tentang pengeluaran waran penahanan kelmarin bagi menjalani hukuman sebat.
"Saya sudah bersedia untuk dibawa oleh jabatan agama bagi menjalani hukuman sebat," katanya.
No comments:
Post a Comment