Polis tahan teman lelaki ibu mangsa sebagai suspek
KUALA LUMPUR: Seorang kanak- kanak perempuan berusia tiga tahun mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di kediaman mereka, di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam Khamis lalu.
Syafia Humairah Sahari dipercayai ditampar dan diterajang di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka muka, dagu, telinga dan lebam kaki serta tangan.
Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Affandi Yahya, berkata lelaki berusia 28 tahun bersama rakannya itu melarikan diri sejurus selepas jururawat bertanya maklumat terperinci mengenai kanak- kanak berkenaan.
Polis bagaimanapun, telah menahan suspek, yang merupakan seorang pemandu teksi, sekitar 3 pagi kelmarin.
Menurut saksi kejadian yang berlaku sekitar 7.30 malam Khamis lalu, suspek 'naik angin' apabila Syafia tidak patuh arahannya supaya pulang ke rumah setelah bermain di padang bola di Kampung Batu 30 di Ulu Yam Lama.
Saksi itu, Ahmad Fikri Khalis, 19 tahun, berkata:
'Dia tendang budak itu macam bola dan langsung tak pedulikan jeritan orang ramai yang melarangnya.
'Mulanya dia menampar dan menendang budak itu. Apabila mangsa terjatuh, dia memijak kepalanya walaupun menyedari perbuatannya dilihat beberapa remaja yang sedang bermain bola sepak.'
Menurut Ahmad Fikri, selepas lebih 10 minit membelasah kanak- kanak itu, lelaki terbabit beredar dari kawasan berkenaan sebelum orang ramai bergegas memberi bantuan kepada Syafia.
'Seorang daripada penduduk yang menyaksikan kejadian cuba mengangkat budak itu untuk dibawa ke hospital. Namun, belum pun sempat dia berbuat demikian, lelaki terbabit datang semula sebelum mengangkat mangsa memasuki teksinya. Dia mendakwa akan membawa sendiri 'anak tirinya' itu ke hospital,' katanya.
Ahmad Fikri berkata, berdasarkan pemerhatiannya, kanak-kanak malang itu sudah mati ketika dibawa masuk ke dalam teksi berkenaan.
'Mana tidaknya, saya lihat dia langsung tidak bergerak, sebaliknya muka dan tubuhnya kelihatan pucat seperti orang sudah mati.
'Kami (penduduk) bukan tak nak tolong, tapi diugut lelaki berkenaan supaya tidak campur hal keluarganya,' katanya. -- Harian Metro, BHM.
No comments:
Post a Comment