Diantara amalan-amalan yang sewajarnya dilakukan oleh kaum muslimin didalam sepanjang bulan Syaaban adalah seperti berikut:
Berpuasa, Sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud: Dari Aishah r.a., katanya : " ..... Aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sebulan genap, sesuatu bulan melainkan bulan Ramadhan, dan aku tidak melihatnya mengerjakan puasa pada bulan yang lain lebih banyak daripada yang dikerjakan dalam bulan Syaaban ".
Banyak melakukan amalan takwa dan taat.
Menahan dan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat dan dosa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: " Barangsiapa mengagungkan bulan Syaaban dan bertakwa kepada Allah s.w.t. dan melakukan ketaatan kepadanya dan menahan diri berbuat maksiat, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan memberi keamanan kepadanya dari kemalangan-kemalangan mahupun penyakit-penyakit yang terjadi pada tahun itu seluruhnya ".
Menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat-ibadat seperti membaca Al-Quran, bertaubat, beristiqafar, berzikir dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: " Barangsiapa menghidupkan malam daripada dua hari raya dan malam pertengahan daripada bulan Sya'ban, hatinya tidak akan mati, manakala hati-hati orang lain mati ".
Memperbanyakkan sembahyang-sembahyang sunat seperti sembahyang sunat hajat, sunat tahajud, sunat taubat, sunat tasbih dan lain-lain lagi.
Bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim.
Melakukan amal-amal kebajikan serta memohon keampunan dua ibu-bapa.
Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. semoga terhindar dari segala bala bencana, mala petaka dan huru-hara bagi diri sendiri, ahli keluarga, kaum muslimin dan muslimat, bangsa dan negara.
Berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. disetiap bidang amal kebajikan yang kita laksanakan.
Beramallah menurut keimanan masing-masing kalau tidak dapat dilaksanakan semua janganlah ditinggalkan semuanya, lebihan umur kita yang masih tinggal sedikit lagi, hampir sampai ke penghujungnya. Rebutlah amal-amal sebanyak-banyak yang boleh, bertaubatlah kepada Allah dosa-dosa yang banyak dengan segala kesungguhan untuk bekal kita di akhirat, kerana yang akan pergi tidak pulang lagi.
“ Sesiapa yang menghendaki(dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikkan dunia itu (sekadar yang kami tentukan) dan ia tidak akan memperolehi sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”
(Surah as-Syura: 30).
No comments:
Post a Comment