Thursday, March 5, 2009

SIDANG DUN TERGEMPAR PERAK SAH: PROF DR AZIZ BARI

March 5, 2009 · Print This Article

Prof Dr Aziz Bari akui “Sidang Tergempar Dun Perak” sah di sisi Perlembagaan

Tarmizi Mohd Jam
Thu | Mar 05, 09 | 10:05:02 am MYT


KUALA LUMPUR, 5 Mac: Sidang tergempar Dun Perak yang diadakan di bawah pokok 3 Mac lalu adalah sah dan tidak menyalahi undang-undang kerana perlembagaan dan arahan tetap dewan menyerahkan kepada Speaker untuk menetapkan tempat dan lain-lain perkara berkaitan

Menurut pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari juga berkata, sedari awal lagi, polis sudah melanggar Perlembagaan apabila menerima arahan dan perintah dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan bukan dari Speaker yang menjadi kuasa tertinggi DUN.

“Apa yang berlaku sah dan tidak menyalahi undang-undang kerana perlembagaan dan arahan tetap dewan menyerahkan kepada speaker untuk menetapkan tempat bersidang,” tegas beliau kepada Harakah.

Dua usul yang diluluskan oleh dewan diperakui sah dan perlu dilaksanakan. Malah Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin boleh diperkenan mengadap Paduka Seri Tuanku Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk mempersembahkan usul dewan bagi tindakan selanjutnya.

Aziz berkata, mahkamah juga tiada berkuasa untuk mengeluarkan injunksi kepada dewan. Beliau kesal, pihak pentadbiran negeri (SUK), polis dan pihak tertentu menyekat dan menutup dewan daripada digunakan untuk sidang tergempar Dun.

“Mereka (BN) tiada pilihan lain,” ujar pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu sambil mempersoalkan sejak bila pula, seorang setiausaha dewan (Abdullah Antong) diberi kuasa mentafsirkan peraturan tetap dewan sedangkan setiausaha hanya kakitangan biasa yang bekerja di bawah arahan Speaker.

Polis juga, tegas beliau boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) kerana menghalang dewan bersidang dan perkara ini telah disebut oleh Speaker, V Sivakumar.

Mengimbas apa yang terjadi pada pagi 3 Mac lalu, insiden di Perak itu cukup menyedihkan kerana ini membuktikan bagaimana institusi rakyat seperti pentadbiran awam termasuk polis yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak memihak serta menjunjung perlembagaan, rela dijadikan ‘kuda tunggangan’ oleh pihak tertentu, kata Aziz.

“Demokrasi tidak akan makmur tanpa kerjasama insititusi itu. Anehnya Zambry tidak mengaku mengeluarkan arahan menutup bangunan sekretariat. Begitu juga dengan Dato’ SS. Jadi, bagaimanapun OCPD terus tidak membenarkan ahli dewan masuk?” soal Aziz kehairanan.

Dari satu sudut, ini telah menimbulkan persoalan, “Apa asas pihak polis untuk tidak membenarkan 28 Adun Pakatan Rakyat masuk ke Dewan? Takkan mereka (polis) tak kenal Speaker? Takkan Adun-Adun Pakatan ini dianggap pengganas dan penjenayah? Ini perlu dijawab oleh pihak polis.”

Tegas Aziz lagi, insiden di Perak itu gagal menyuburkan proses demokrasi kerana institusi awam seperti polis tidak memainkan peranan dengan betul. END

No comments: